Kena titik Sabah di Likas, apa tunggu lagi?


Berapa banyak masa lagi yang Zainal Abidin Hassan perlukan dan berapa lama lagi penyokong Melaka United harus menanggung kekecewaan?

Dua perlawanan kononnya dijadikan kayu ukur sebelum ini tapi apabila keputusan menentang Kedah Darul Aman tidak berpihak kepada Melaka United, Zainal Abidin diberikan dua perlawanan lagi.


Dan malam ini, Sabah FC di bawah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto menunjukkan mengapa Datuk Seri Justin Lim perlu memikirkan semula masa yang diberikan kepada ketua jurulatih Melaka United itu.  



Gandingan dua penyerang import yang longlai di jentera serangan dan pertahanan yang rapuh jelas mencerminkan mengapa lawan kerap kali tersenyum menentang Melaka United


Jika sebelum ini jaringan bekas pemain, Amri Yahyah amat menyakitkan tapi mungkin pada malam ini dirasakan sebaliknya oleh penyokong Melaka United.


Bukan niat mahu melihat pasukan sendiri diratah lawan tapi rata-rata penyokong mahu pengurusan melakukan perubahan drastik jika tidak mahu tahun gelap 2010 berulang kembali.


Di Likas, Amri menunjukkan ketajamannya penyudahnya menerusi dua gol yang dijaringkan pada minit keenam dan minit ke-47.



Pemain tengah Azizan Nordin turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-16 sebelum pemain gantian, Fakhrullah Rosli menghadiahkan gol saguhati untuk dibawa pulang ke semenanjung.


Ini merupakan kekalahan kelima Melaka United di Liga Super. Jika Sri Pahang berani merehatkan ketia jurulatih dan menukar empat pemain import mereka, mengapa tidak Melaka United melakukan perkara sama. Bertindak sebelum terus berputih mata.


Foto: MFL, MUFC