.

.

‘Peluang ketiga’ buat Zainal Abidin?

Ketika penyokong Melaka United berkira-kira akan mendapat ‘ketua baharu’ bagi menerajui kelab, situasi sebaliknya berlaku apabila difahamkan Zainal Abidin Hassan akan kekal menerajui pasukan untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan lagi.

Jika sebelum ini dua perlawanan (lawan Perak dan Kedah) dijadikan kayu ukur prestasi yo-yo kelab sepanjang pusingan pertama Liga Super, kini bekas ketua jurulatih Pahang itu diberikan ‘peluang ketiga’.


Kesabaran pemilik baharu Melaka United, Datuk Seri Justin Lim dilihat cukup tinggi apabila masih kekal realistik dan mahu Zainal Abidin diberikan lagi masa merencanakan sesuatu untuk kelab.



Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menurusi ciapan di Twitternya, bekas penyerang kebangsaan itu kini mempunyai satu lagi peluang untuk mengubah nasibnya di Melaka.


“Kedudukan Zainal Abidin difahamkan kekal selamat walaupun Melaka United tewas 1-3 menentang Kedah dan diberi peluang dua lagi perlawanan sebelum berlaku sebarang perubahan,” katanya hari ini.


Melaka United berada di kedudukan kelapan Liga Super selepas mengutip 10 mata daripada 11 perlawanan. 



Pada awal musim, kelab itu telah dipotong tiga mata selepas gagal menyelesaikan struktur pembayaran gaji tertunggak pemain musim lalu.


Prestasi terumbang-ambing yang dipamerkan Melaka United musim ini turut dipengaruhi beberapa faktor seperti penolakan mata, pemain import gagal menyerlah, kelemahan taktikal dan benteng pertahanan rapuh.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.