Sekatan perpindahan, bagaimana Melaka United boleh tandatangani pemain?


Kemarahan membuak-buak terhadap prestasi pemain import, Stefan Nikolic dan Alex Goncalves serta Zainal Abidin Hassan membuatkan penyokong mengharapkan pemilik baharu, Datuk Seri Justin Lim melakukan rombakan besar pada jendela perpindahan Mei ketika ini.

Selepas ditolak tiga mata diawal musim selepas gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain musim lalu mengikut jadual yang ditetapkan, Melaka United sebenarnya masih di dalam dilema.

Ini kerana pasukan di selatan tanah air itu sebenarnya kini dalam fasa penggantungan satu jendela perpindahan iaitu jendela perpindahan Mei oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana gagal melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import, Narupon Wild Putsorn sebanyak RM241,726.69.

Untuk rekod, FIFA tahun lalu mengarahkan Melaka United membayar Narupon dalam tempoh 45 hari, bermula 12 November namun gagal berbuat demikian.

Sebaliknya, pasukan hijau putih itu dilaporkan bakal mendapatkan dua pemain dari Amerika Selatan bagi menggantikan Alex dan Nikolic serta meminjam pemain dari pasukan jiran, Johor Darul Ta'zim.


Bagaimana pelanggaran pematuhan ini berlaku dan apakah tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?

Pengamal undang-udang, Nik Erman Nik Roseli seperti dipetik dari New Straits Times berkata, merujuk kepada artikel 10 dalam status dan perpindahan pemain 2021 FIFA, seseorang pemain boleh dipinjamkan ke kelab lain tetapi undang-undang perpindahan tetap terpakai terhadap transaksi itu.

"Jadi, jika sesebuah kelab itu dikenakan sekatan perpindahan, peraturan yang sama dipakai dalam pinjaman pemain.

"Jika mereka tidak boleh mendapatkan pemain secara perpindahan, mereka juga tidak boleh menerima pemain secara pinjaman,"katanya kelmarin.

Sehingga kini belum dapat dipastikan apa yang akan dilakukan Melaka United untuk menamatkan kontrak Alex dan Nikolic dan mendaftarkan dua pemain baharu yang kini menjalani kuarantin wajib di negara ini.


Difahamkan, selepas menerima 'peringatan' FAM berkenaan sekatan perpindahan, Melaka telahpun memulakan proses pembayaran gaji tertunggak Narupon pada 18 Mei lalu.

Bagaimanapun, jika dirujuk kepada sistem perbankan di negara ini, pemindahan wang secara atas talian mempunyai limit harian sebanyak RM30,000 dan jika peraturan itu terpakai, dianggarkan pembayaran hanya akan selesai dalam tempoh lapan hari.

Dengan 11 hari lagi tinggal sebelum jendela perpindahan ditutup, Melaka United mempunyai masa yang cukup singkat untuk menyelesaikan hutang sekali gus terlepas daripada sekatan perpindahan pemain.

Adakah Melaka United cukup masa untuk lakukannya?

Foto: MUFC, MUSA