Tukar pemain import setiap separuh musim, tak serikkah 'dikencing' ejen?

Oleh Wanchel (putbola@gmail.com)


Saban tahun penyokong disajikan dengan skrip sama apabila sekurang-kurangnya dua pemain import ditukar ketika separuh musim dek kerana kegagalan menyerlah atau konsisten di Liga Malaysia.

Bukan sekali, bukan dua malah dah berkali-kali. Apabila disemak kebanyakan kelab atau pasukan di Liga Malaysia hanya terarah kepada ejen bola sepak yang sama. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Jika bernasib baik, dapatlah diperkenalkan dengan pemain yang berkualiti. Jika nasibnya malang, tengah musim tukar lagi. Tindakan ini bukan sahaja memakan kos yang besar kerana membayar pampasan menamatkan kontrak malah perlu dibayar lagi kos ke kepada ejen untuk pemain lain pula.

Pemain import keluar masuk sejak 2016


Pasukan di Liga Malaysia bukan seperti di Eropah. Jika tidak menyerlah, pemain itu masih lagi boleh dijual kepada pasukan lain tetapi di sini, penamatan kontrak atau terma 'direhatkan' menjadi penyelesaian. 

Atau paling tidak pun dipinjamkan ke pasukan lagi, itu pun jika pasukan yang meminjam mahu menanggung penuh atau separuh gaji pemain import tersebut.

Bermula pada 2016 apabila dinaikkan pangkat ke Liga Premier, 'budaya' menukar pemain import di tengah musim berlaku apabila mengeluarkan Shin Jae-pil dan Balsa Bolzovic dengan membawa masuk Yashir Pinto dan Alexandru Tudose.

Tren itu diteruskan dalam tahun berikutnya apabila Marko Simic, Jasmic Mecinovic dan Felipe Almeida De Souza dibawa masuk menggantikan Sergio Aguero, Ilija Spasojevic dan Godwin Antwi.


Tahun 2018, Tiago Gomes pula ditamatkan kontrak dengan Lee Chang Hoon dan Ifedayo Olusegun masuk memperkuatkan pasukan. Dominic Balik, Davy Angan dan Luka Milunovic pula dibawa masuk pada pertengahan tahun 2019 bagi menggantikan Liridon Krasniqi, Darko Markovic dan Anselmo Casagrande.

Pada tahun lalu menyaksikan Narupon Putsorn meninggalkan pasukan dan musim ini menyaksikan kontrak dua penyerang, Stefan Nikolic dan Alex Goncalves ditamatkan pada pertengahan musim. 

Malah difahamkan salah seorang daripada pemain import terbabit diperkenalkan oleh ejen yang sama saban tahun. Tidakkah pengurusan belajar daripada kesilapan yang lalu?

Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), terdapat sebanyak 5,187 ejen bola sepak berdaftar di seluruh dunia.

Jadi, dalam ribuan ejen yang ada, mengapa harus terfokus kepada satu jika pilihan ada banyak di depan mata?

Tawaran ejen yang terhad


Kelemahan sistem pentadbiran dengan tiadanya pengkhususan jawatan peninjau atau pencari bakat menyebabkan pengurusan sesebuah kelab tiada pilihan selain daripada memilih pemain import yang ditawarkan ejen.

Biarpun sedia maklum bahawa ada dalam kalangan pemain import yang ditawarkan tidak mempunyai rekod yang baik sepanjang bersama pasukan mereka sebelum ini. Ambil atau lupakan hasrat mengambil pemain import.

Bukan tidak ditawarkan oleh ejen-ejen lain yang turut merisik namun ada pengurusan yang lebih cenderung kepada tawaran yang dibuat oleh ejen tempatan yang dikenali mereka.

Sebagai contoh, sebuah agensi bola sepak di Amerika Selatan, Etminan Brazil kini menjadi antara penyumbang utama kepada kemasukan pemain import dari benua tersebut.


Antaranya adalah Guilherme de Paula (JDT); Careca, Leandro Dos Santos (Perak FC); Paolo Josue (Kuala Lumpur City); Casagrande, Emdrick dos Santos (Penang FC) dan terbaharu, Giovane Gomes yang dipinjamkan ke Melaka United.

Mungkin pengurusan kelab perlu membuat penilaian daripada lebih ramai ejen mengenai pemain yang tawarkan. 

Jika dilihat dalam buku manual Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), tiada lagi syarat pemain import yang diambil mestilah hanya daripada divisyen satu atau dua di sesebuah negara. Dan hal ini memberikan ruang kenapa Gomes yang hanya beraksi di divisyen empat atau Serie D di Brazil boleh dibawa masuk ke Melaka United.

Siapa yang bawa masuk pemain?


Ketika masa depan Zainal Abdin Hassan sebagai pengendali Melaka United masih samar, timbul persoalan siapa yang mempunyai kuasa veto untuk 'membuang' dan membawa masuk pemain.

Jika munggu lalu pemilik, Datuk Seri Justin Lim memberitahu media bahawa kedudukan Zainal Abidin masih belum ditentukan dan akan dibincangkan oleh pengurusan, maka tidak adil untuk membawa masuk pemain baharu tanpa ada keputusan yang jelas.

Jika Zainal Abidin dikekalkan, berilah beliau kebebasan memilih untuk membawa masuk pemain yang diinginkan. Begitu juga kebebasan untuk ketua jurulatih baharu jika Melaka United tidak berhasrat tidak mahukan khidmat bekas penyerang kebangsaan itu lagi.


Ini bukan lagi zaman pengurusan tertinggi mencampuri urusan pemilihan pemain dan menetapkan siapa yang perlu diturunkan dalam kesebelasan itu. Penswastaan dan biarkan segalanya bergerak secara profesional.

Dan kini, pengurusan Melaka United perlu segera menentukan hala tuju pasukan sama ada kekalkan Zainal Abdin atau sebaliknya. Masih ada satu lagi kekosongan pemain import dan biarkan ketua jurulatih memilih pemain yang diperlukan dan bersesuaian dengan taktikal beliau. 

Foto: MUFC, Etminan Brazil, JDT