Gol Kecik penyelamat Melaka United


Pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau Kecik muncul wira Melaka United apabila gol lewat permainannya membantu Melaka United mengikat Sri Pahang 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Menurunkan tiga muka baharu Giovanne Gomes, Adriano Aparecido Narcizo dan Gary Steven Robbat, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan terlebih dahulu ketinggalan seawal minit pertama perlawanan.

Bermula daripada sepak mula perlawanan, pemain sayap Sri Pahang, Abdul Malik Mat Arif berjaya melepasi kawalan pertahanan Melaka United sebelum melakukan hantaran lintang yang disudahkan Manuel Hidalgo.

Gol pantas dalam tempoh 40 saat itu boleh diselamatkan jika penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat berada di posisi sepatutnya ketika gerakan jaringan tersebut terhasil.


Melaka United cuba bangkit selepas itu menerusi beberapa gerakan trio, Giovanne Gomes, Sony Norde dan S Kumaahran namun keampuhan benteng pertahanan Sri Pahang menyaksikan mereka mempertahanan kelebihan satu gol ketika menuju bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan Melaka United terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Perlawanan terhenti selama 11 minit pada minit ke-47 apabila salah satu daripada lampu limpah stadium terpadam.


Tindakan pertahanan, Akmal Zahir menjatuhkan Abdul Malik dihukum apabila tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-80.

Namun, Khairul Fahmi  menebus kesilapannya sebelum ini apabila berjaya menepis sepakan penalti Harould Goulon untuk memastikan peluang Melaka United memburu gol penyamaan masih ada.

Dan pada minit ke-97, gol penyamaan terhasil juga. 

Bermula daripada hantaran silang Sony Norde didada Faris Shah Rosli. 

Pemain pertahanan itu kemudiannya melambung bola ke depan gawang dan kemudiannya disudahkan dengan sepakan voli Kecik untuk memastikan Melaka United pulang dengan satu mata.

Keputusan ini melonjakkan Melaka United ke tempat ke-10, keluar daripada zon penyingkiran namun hanya dibezakan dengan perbezaan gol dengan pasukan di tangga ke-11, Perak FC.

Foto: MUFC