Melaka United terselamat daripada menempa kekalahan keenam musim ini apabila tandukan lewat permainan, Jang Suk-won membantu skuad hijau putih itu mengikat Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Cheras malam tadi.
Minit ke-37 menyaksikan Kecik berjaya melepaskan satu percubaan dari luar kotak namun terasar ke sebelah kanan gawang KL City.
Selang seminit kemudian giliran Sony Norde menguji benteng pertahanan tuan rumah tetapi percubaan leret dari luar kontak pemain antarabangsa Haiti itu diselamatkan penjaga gol, Kevin Mendoza.
Romel terlepas peluang keemasan meletakkan KL City di depan pada minit ke-41 namun bekas pemain temgah itu gagal menolak masuk hantaran silang Paolo Josue biarpun gawang terbuka di depannya.
Hantaran satu dua Adriano dan Sony pada masa kecederaan separuh masa pertama mencemaskan pertahanan KL City tetapi Giancarlo muncul penyelamat dengan melakukan hadangan kritikal menafikan percubaan Adriano dari dalam kotak penalti.
Persembahan anak buah Zainal Abidin tidak sama seperti di separuh masa pertama.
Sebaliknya, KL City yang dibimbing Bojan Hodak bermula garang di babak kedua apabila bertali arus mengasak kubu Melaka United.
Usaha tersebut akhirnya berhasil apabila Zhafri Yahya berjaya menanduk masuk hantaran silang Hadin Yahya untuk meletakkan skuad ibu kota itu di depan pada minit ke-53.
KL City terus memburu gol kedua menerusi beberapa percubaan berbahaya namun ketumpulan penyudah menafikan peluang mereka.
Ketika tiga mata penuh seakan milik anak buah Bojan Hodak, Melaka United bangkit menyamakan kedudukan.
Bermula dengan sepakan percuma Sony dari sebelah sayap kiri, Suk-won berjaya menyelinap masuk dalam kalangan barisan pertahanan KL City untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-98.
Ini merupakan keputusan seri ketujuh Melaka United musim ini dalam 16 perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Melaka United kekal di tangga kesembilan dengan 16 mata dan kedudukan dijangka berubah jika Sri Pahang yang berada di tempat ke-10 menang ke atas PJ City malam esok.
Foto: MUFC