Melaka United benam TFC

Melaka United melakar kejutan apabila menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Biarpun di atas kertas peluang skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk meraih tiga mata penuh sukar, namun Melaka United yang turun beraksi di laman sendiri mempamerkan aksi membanggakan.

Menyenaraikan kesebelasan utama ketika seri 1-1 ketika menentang Sri Pahang minggu lalu, Melaka United berjaya mendominasi bahagian tengah dengan mengekalkan disiplin pertahanan yang tinggi.

Taktik tersebut berjaya mengekang kemaraan dan gerakan pemain lincah Faisal Halim dan Faiz Nasir serta dua tonggak import, Makan Konate serta David da Silva.

Manuel Ott hampir meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-24 namun percubaan deras dari luar kotak berjaya diselamatkan penjaga gol TFC, Suhaimi Hussin.

Sony Norde yang digelar 'magician' oleh penyokong bekas kelab lamanya, Mohun Bagan akhirnya mempamerkan magis yang dimilikinya.


Menerima hantaran di bahagian tengah, Sony melakukan larian mengelirukan dan menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-35.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerak khususnya TFC sekali gus memaksa Khairul Fahmi Che Mat bekerja keras sepanjang 45 minit terakhir perlawanan.

Ketika lawan cuba memburu jaringan penyamaan, Adriano muncul pemusnah apabila meledak gol kedua tuan rumah menerusi rembatan leret ke sebelah kiri gawang Suhaimi sekali gus memastikan tiga mata penuh milik Melaka United.

Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke kedudukan kesembilan Liga Super dengan 15 mata memintas Sri Pahang dan Perak.

Foto: MUFC