.

.

Melaka United lebarkan jurang dari zon penyingkiran

Melaka United melonjak ke tangga kesembilan h Liga Super selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan tercorot, UiTM FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Satu mata yang dikutip di laman sendiri itu menyaksikan skuad bimbingan Zainal Abdin Hassan berjaya melebarkan jurang dari zon penyingkiran kepada empat mata, meninggalkan Perak FC dan UiTM FC di kedudukan terbawah liga.

Dalam aksi malam tadi, Zainal Abidin memilih untuk mengekalkan kesebelasan utamanya ketika tunduk 1-2 kepada Penang FC baru-baru ini.


Penyerang, Giovanne Gomes terlepas peluang keemasan meletakkan Melaka United di depan seawal minit keempat selepas berjaya mencuri bola daripada kaki Ahmad Khuzaimi Piee namun gagal menyudahkan peluang satu lawan satu berdepan penjaga gol UiTM FC, Muhamamd Zamir Selamat.

Pada minit ke-39 menyaksikan UiTM FC menguji Khairul Fahmi Che Mat di gawang tuan rumah namun percubaan dari luar kotak penalti Khairul Izwan Rosli agak lemah terus ke dakapan penjaga gol Melaka United.

Permainan semakin rancak di penghujung babak pertama menyaksikan percubaan Manuel Ott sekadar singgah di tiang gol Zamir pada minit ke-43.


Belum pun sempat bekas penjaga gol Melaka United itu menarik nafas lega, selang seminit kemudian, giliran Kumaahran pula melepaskan satu percubaan deras dari luar kotak penalti yang singgah ke palang gol lawan sebelum melepasi garisan gol untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Gol tersebut dipersoalkan pemain dan pegawai UiTM FC kerana mendakwa bola tidak melepasi garisan gol sebelum melantun keluar dan diselamatkan Zamir. 

Ulang tayang menunjukkan penjaga garisan membuat keputusan tepat menghadiahkan gol tersebut kepada Melaka United untuk mendahului 1-0 di babak pertama.


Babak kedua menyaksikan pemain gantian, Mohamad Fakhrullah Rosli terlepas peluang terbaik menggandakan kedudukan pada minit ke-67 selepas percubaannya dari dalam kotak penalti tersasar.

Khairul Fahmi bertindak cemerlang apabila berjaya menepis keluar percubaan menarik Mohamad Rafie Yaacob untuk memastikan gawangnya tidak dibocori pada minit ke-70.

Kelekaan barisan pertahanan Melaka United dihukum kapten UiTM FC, Victor Nirennold apabila berjaya melepaskan satu rembatan kencang ke gawang Khairul Fahmi untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-83.

Pelawat terlepas peluang keemasan mencetak gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan namun percubaan Mohamad Rafie berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Melaka United selepas itu cuba bangkit mencari gol kemenangan selepas itu namun deretan percubaan yang diatur gagal menembusi gawang Zamir untuk memastikan kedudukan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.