.

.

Penalti Bergson pemisah Melaka United, JDT


Hanya satu kesilapan dan disitulah hukuman diterima. 

Itulah pengajaran berharga buat barisan pertahanan Melaka United selepas kelekaan seawal minit pertama perlawanan memberikan lawan tiga mata di laman sendiri.

Bermula daripada hantaran lemah Mohd Razman Roslan yang dipintas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), bola terus dilorongkan kepada Gonzalo Cabrera.

Razman cuba untuk mendapatkan kembali tetapi penyerang itu lebih pantas lolos ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan Akmal Zahir, 13 saat selepas perlawanan berlangsung.

Penyerang import, Bergson da Silva tidak bermasalah menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk meletakkan pasukan selatan tanah air itu 1-0 di depan.


JDT berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-37, apabila percubaan dari dalam kotak Cabrera sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang Melaka United.

Pada minit kecederaan menyaksikan Khairul Fahmi bertindak cemerlang menepis sepakan padu Safawi Rasid untuk memastikan kedudukan semasa kekal menuju ke bilik persalinan.

Perlawanan lebih seimbang dipamerkan di separuh masa kedua namun jentera serangan Melaka United buntu untuk menembusi keampuhan benteng pelawat.

JDT sebaliknya mencipta beberap percubaan berbahaya menerusi Cabrera, Ariff Aiman dan Muhammadou Sumareh namun kedudukan kekal sehingga akhir perlawanan.

Foto: MUFC
Powered by Blogger.