.

.

Gandingan Adriano-Ott benam Lang Merah


Adriano mempamerkan persembahan menakjubkan apabila membantu Melaka United menundukkan Kedah Darul Aman FC 3-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi menerusi tiga bantuan jaringan.

Gandingannya bersama Manuel Ott menjadi duri dalam daging buat skuad bimbingan Aidil Shahrin Sahak sekali gus meletakkan Melaka United mengekalkan rekod dua kemenangan daripada dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021.


Ott turut cemerlang apabila meledak dua gol untuk meletakkan Melaka United sebagai pendahulu kumpulan C.


Dalam aksi malam tadi, Zainal Abidin Hassan melakukan dua pertukaran dengan menyenaraikan kembali Giovanne Gomes dan Razman Roslan dalam kesebelasan utama.


Namun, Kedah terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi penyudah Kpah Shermann.


Gol itu berpunca daripada kegagalan pertahanan Melaka United, Razman Roslan untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Sebaliknya bola tersebut terus ke kaki Tchetche Kipre.


Penyerang itu tidak menunggu lama sebelum melintangkan bola ke depan gawang Khairul Fahmi Che Mat dan kemudiannya disudahkan Shermann untuk gol pertama tuan rumah.



Melaka United bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila Sony Norde mudah menyempurnakan bola hantaran Adriano untuk menyamakan kedudukan 1-1.


Anak buah Zainal Abidin Hassan terus garang apabila berjaya meledak gol kedua pada minit ke-39, kali ini menerusi jaringan leret Manuel Ott yang menerima hantaran Adriano dalam kotak penalti.



Gandingan Adriano-Ott terus menjadi di babak kedua apabila Ott meledak gol kedua peribadinya malam ini menerusi percubaan menarik terus ke penjuru gawang Kedah untuk meletakkan pelawat selesa dengan kelebihan dua gol.


Perlawanan terus seimbang selepas itu namun tiada sebarang tambahan jaringan dihasilkan sekali gus menyaksikan Melaka United melonjak ke tangga teratas kumpulan C dengan enam mata daripada dua perlawanan.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.