Melaka United Ungguli ‘Naning Derby’


Selepas tiga tahun tidak bertemu, Melaka United dan Negeri Sembilan FC berentap dalam aksi setempat ‘Naning Derby’ pembukaan kempen Piala Malaysia 2021 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Pertemuan dua pasukan berjiran ini menyaksikan skuad hijau putih bimbingan Zainal Abidin Hassan tidak berdepan masalah menundukkan juara baharu Liga Premier itu dengan keputusan 2-0.


Diletakkan bersama Kedah dan Kelantan United dalam kumpulan C, kedua-dua pasukan memburu tiga mata penting bagi menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

Aksi di Stadium Hang Jebat itu terpaksa ditangguhkan sementara sekitar 10 minit pada minit ke-12 kerana hujan dan disulami pancaran kilat.

Namun, itu sama sekali tidak menjejaskan semangat juang tuan rumah.

Melaka United berjaya memperoleh gol pertama hasil percubaan dari luar kotak pemain import dari Brazil, Adriano pada minit ke-28.


S. Kumaahran pula menggandakan kelebihan buat Melaka United selepas rehat separuh masa apabila percubaannya dari dalam kotak penalti masuk melepasi kawalan Daniel Lim pada minit ke-65.

Tuan rumah berjaya mempertahankan kelebihan dua gol sekali gus meraih tiga mata ke atas pasukan jiran.

Sementara itu dalam satu lagi aksi kumpulan C menyakasikan Kedah mudah menundukkan Kelantan United 3-0 di Stadium Darulaman.