.

.

Melaka United kelab tunggal gagal dapat Lesen AFC


Melaka United merupakan satu-satunya kelab daripada 12 pasukan Liga Super yang gagal menerima lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pasukan dari selatan tanah air itu tidak layak menyertai sebarang kejohanan peringkat kelab AFC bagi musim 2022 kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan badan bola sepak Asia itu.

Melaka United gagal mendapatkan lesen AFC mereka kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan untuk pelesenan AFC.

Daripada 12 kelab (Liga Super), 10 daripada kelab diberikan lesen AFC bagi membolehkan mereka bertanding dalam pertandingan kelab AFC 2022 sekiranya layak manakala Sri Pahang FC tidak memohon lesen AFC,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Dalam pada itu MFL memberitahu, sebanyak 12 pasukan Liga Super 2021 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super 2022 sekiranya memenuhi syarat.

Keputusan itu diambil semasa mesyuarat Pelesenan Kelab First Instance Body (FIB) MFL yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 20 dan 21 Oktober lalu.

Bagaimanapun katanya, Melaka United diberikan lesen kebangsaan dengan sekatan; denda RM15,000 dan diberikan amaran kerana melanggar tarikh akhir penyelesaian pembayaran tertunggak mereka membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu pada 30 September 2021.

“Pembayaran denda yang dipersetujui haruslah dijelaskan pada 20 November dan mereka dikehendaki menghantar bukti pembayaran kepada Pelesenan Kelab MFL dan jika tidak, perkara tersebut akan dikemukakan kepada FIB Perlesenan Kelab MFL untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.