.

.

Aksi KL City - Melaka United di ‘stadium kosong’


Perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City dan Melaka United di Cheras bakal berlangsung dalam ‘stadium kosong’ susulan hukuman yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Hukuman beraksi tanpa pemain diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mendapati Kuala Lumpur City selaku tuan rumah gagal mengawal penyokong sehingga berlakunya pencerobohan padang selepas aksi suku akhir kedua Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan prosedur operasi standard (SOP) Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong telah dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.


Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 yang berlangsung pada 22 November dan Kuala Lumpur City telah bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MFL semalam.

Ini merupakan berita yang telah dijangka namun menghadirkan kekecewaan buat penyokong Melaka United yang telah pun merancang perjalanan untuk ke Cheras bagi memberikan sokongan kepada pasukan.

Untuk rekod, kali terakhir Melaka United ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia adalah pada 1963.

Foto: BERNAMA
Powered by Blogger.