Imbas ‘kod QR MySejahtera bergerak’ menyusahkan


Lebih 12,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Hang Jebat malam ini bagi menyaksikan pertembungan hidup mati Melaka United dan Kuala Lumpur bagi aksi separuh akhir kedua TM Piala Malaysia.

Dengan pertambahan lebih sekali ganda daripada jumlah kehadiran penyokong ketika aksi suku akhir lalu, Melaka United Football Club (MUFC) perlu memperbaiki sistem kawalan masuk ke dalam stadium.


Oleh kerana masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), kawalan di pintu masuk Stadium Hang Jebat agak kurang sistematik.


Kelemahan paling menonjol apabila ada staf atau wakil kelab yang menjadi ‘tukang pegang Kod QR MySejahtera’ untuk diimbas penyokong sebelum masuk.


Lebih tidak relevan apabila kertas kod QR yang telah siap dilamina (laminate) dihalakan ke atas menyebabkan telefon pintar penyokong sukar membaca kod berkenaan kerana pencahayaan dari lampu stadium.


Penyelesaian lebih konkrit diperlukan kelab bagi memastikan kelancaran di pintu masuk stadium.


Tidak salah rasanya diperbanyakkan kod QR itu diletakkan sepanjang barisan masuk kerana dengan cara tersebut dapat melancarkan perjalanan masuk ke stadium.


Terbaharu, pemantauan terhadap SOP terutama tempat duduk dan pelitup muka penyokong perlu diutamakan setelah melihat denda yang dikenakan ke atas pasukan Terengganu FC semalam.