Usah terlalu yakin kerana apa sahaja boleh berlaku dalam baki 90 minit suku akhir kedua malam ini.
Biarpun berjaya membawa pulang satu gol dari Stadium Likas minggu lalu, pemain-pemain Melaka United perlu kekal fokus bagi mematikan sisa-sisa juang Sabah FC.
Berada pada prestasi terbaik selepas kekal tanpa kalah dalam kempen TM Piala Malaysia musim ini, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri di laman sendiri.
Di atas padang, Manuel Ott dilihat sudah semakin berkuasa menjadi jeneral mencipta gerakan-gerakan berbahaya.
Berpasangan dengan seorang lagi pemain import, Adriano, kedua-dua pemain ini cukup berpengaruh mengemudi bahagian tengah sambil dibantu Hasbullah Abu Bakar yang bertindak sebagai pemain tengah bertahan.
Hasilnya, Ott dan Sony kini telah merekodkan empat gol dalam kempen TM Piala Malaysia 2021, satu pencapaian yang cukup jarang kita saksikan daripada pemain Melaka United.
Ini merupakan tahun terbaik untuk sekurang-kurangnya kita melangkah ke Bukit Jalil.
Jika berjaya melepasi halangan Sabah, dua pasukan Lembah Klang, sama ada Selangor atau Kuala Lumpur bakal menanti di separuh akhir.
Peluang sudah terbuka. Terus kekal fokus dan konsisten bagi memastikan impian ke Bukit Jalil menjadi kenyataan. Jadi juara adalah bonus jika layak ke final.
Foto: MUFC