.

.

Penentuan penalti sekat hajat Melaka United ke Bukit Jalil


Impian Melaka United untuk mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia tidak kesampaian apabila tewas 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada KL City selepas terikat secara agregate 2-2 di Stadium Hang Jebat malam tadi.


Selepas seri 1-1 di Cheras Isnin lalu, kedua-dua pasukan mencatat keputusan sama di Paya Rumput selepas 120 minit perlawanan.


Perlawanan tertangguh kira-kira satu jam selepas berlaku gangguan bekalan elektrik di Stadium Hang Jebat.


Aksi yang bermula pada pukul 10 malam itu menyaksikan KL City terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi gol J. Partiban seawal minit kesembilan.


Namun, Ahmad Syamim Yahya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 selepas menolak masuk tandukan tipis Akmal Zahir untuk mengikat kedudukan 1-1.


Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan selepas tiada tambahan gol dalam 90 minit perlawanan.


Tiada sebarang jaringan dihasilkan sepanjang 30 minit masa tambahan sehingga pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.


Giovanne Gomez gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Melaka United sambil Adriano, Manuel Ott dan Sony Norde tidak bermasalah mengambil sepakan tersebut.

Powered by Blogger.