Pertahanan Melaka United, Mohd Akmal Zahir dilaporkan berminat kembali menabur bakti di negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman musim depan.
Gandingan mantap bersama Jang Suk-won di barisan pertahanan dalam kempen TM Piala Malaysia musim ini menarik minat beberapa kelab memancing khidmatnya untuk tahun 2022.
Namun, menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain pertahanan itu dijangka menolak tawaran beberapa pasukan termasuk Melaka United untuk kembali menyarung jersi hijau kuning.
“Pengantin baru Mohd Akmal jadi rebutan apabila mendapat tawaran Kedah DA dan Sri Pahang termasuk pasukannya Melaka United.
“Namun difahamkan pertahanan 27 tahun itu berminat menyertai pasukan negeri kelahirannya, Kedah DA,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini.
Mohd Akmal sebelum ini menjadi tumpuan selepas pulang dari majlis pernikahannya dari Kuala Kangsar, Perak ke Melaka menaiki helikopter bagi membantu pasukan berdepan Kuala Lumpur City bagi aksi timbal balik di Stadium Hang Jebat.
Foto: MUFC