Selepas lebih tiga musim menabur bakti di Melaka, Mohd Faris Shah Rosli akhirnya angkat kaki berhijrah ke pasukan jiran, Negeri Sembilan FC.
Pemain pertahanan yang lebih dikenali sebagai Black itu menjadi pilihan Zainal Abidin Hassan dalam kesebelasan utamanya musim ini apabila merekodkan 26 penampilan dan empat daripadanya dari bangku simpanan.
Empunya jersi bernombor 25 itu dilaporkan dapat beraksi dengan kerap selepas pemain utama, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman mengalami kecederaan panjang musim ini.
Pengesahan perpindahan Faris Shah diumumkan oleh Negeri Sembilan FC menerusi akaun media sosial kelab itu hari ini.
Turut sama menyertai Black di Paroi adalah bekas pemain pinjaman Melaka United dari JDT, Che Rashid Che Halim.
Selain Faris Shah, beberapa pemain lain dijangka meninggalkan pasukan termasuk Khairul Fahmi Che Mat.
Namun difahamkan pihak pengurusan sedang mengadakan perbincangan bagi mengekalkan beberapa pemain utama musim ini.