Nilai wang ringgit dan masa yang dihabiskan bukan ukuran namun kepuasan memelihara khazanah bola sepak negeri Melaka menjadi satu kepuasan buat dua beradik, Mohd Azudin Zakaria atau Din dan adiknya, Mohd Fadzril (Alang).
Din berkata, mungkin ada yang menganggap apa yang dilakukan satu kerja gila namun dia melihat itu merupakan satu kejayaan bagi mereka.
Katanya, mereka secara serius mengumpul jersi pasukan Melaka pada 2011 yang mana merupakan zaman gelap bola sepak negeri itu yang terpaksa turun ke divisyen tiga, Liga FAM.
“Tiada siapa yang peduli pasukan ini. Kami berjuang bersendirian di liga bawahan tanpa penyokong ketika itu.
“Jadi dengan mengumpul (jersi) dapat buktikan kecintaan sekali gus menunjukkan kepada penyokong Melaka dan orang luar bahawa bola sepak Melaka masih ada yang sayang dan peduli,” katanya kepada Melaka United Media.
Din berkata, jersi pertama yang dikumpulnya adalah sesuatu yang ‘rare’ (yang jarang dijumpai) kerana agak sukar mencari peniaga yang menjual jersi pasukan Melaka.
Namun kata beliau, itu tidak menghalang minat mereka dan sehingga kini telah berjaya mengumpul hampir 80 helai jersi Melaka dengan 95 peratus daripadanya diperoleh daripada bekas pemain pasukan.
Mengimbas kembali bagaimana cara untuk mendapatkan jersi pemain dan bekas pemain, Din berkata itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Setakat ini, hampir kesemua jersi simpanan kami milik player sekitar 90-an sehingga kini. Cara kami dapatkannya tertakluk pada cara pujuk rayu, tawar-menawar dan nilai persahabatan yang tinggi antara kami dan bekas pemain.
“Kami bersahabat bukan hanya untuk memdapatkan jersi semata-mata tetapi berterusan dan sering mengangkat dan memartabatkan titik peluh mereka.” katanya.
Sementara itu Alang berkata, tidak semua koleksi dikumpul mereka dapat daripada bekas pemain, tetapi bekas pengadil Liga Malaysia serta ahli keluarga dan juga sahabat-sahabat pemain turut menyumbang kepada usaha tersebut.
“Antara kenangan paling pahit adalah menunggu jersi hampir enam hingga ke tujuh tahun. Yang paling penting dalam ‘babak jersi’, jangan sesekali memaksa bekas pemain untuk menjual kerana kita juga perlu hormat kenangan mereka bersama pasukan.
Ditanya soalan adakah mereka ada menjual jersi yang dibeli atau diberi oleh pemain, Alang berkata, mereka tidak sesekali akan menjual jersi berkenaan.
“Sekiranya jersi dimiliki daripada bekas pemain, jika lebih daripada satu, tetap akan kami simpan atas dasar nilai kepercayaan yang tinggi daripada bekas pemain. Kami sangat hargai setiap apa yang kami miliki.” kata Alang.
Menurut Alang, sepanjang menjadi kolektor jersi, mereka pernah menghabiskan wang sehingga RM800 untuk membeli sehelai jersi lama.
Alang berkata, dia dan abangnya tidak akan sesekali berhenti mengumpul jersi yang dipakai pemain kerana nilai sentimental yang ada pada setiap helaian yang dikumpul cukup berharga.
“Minat ini tidak ternilai dari sudut kewangan kerana nilai sentimental sangat berharga buat tatapan sejarah generasi bola Melaka.
‘Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada bekas pemain seperti Halim Jantan, Md Noor Derus, Sapian Wahid, Mohamad Nizam, Azlan Ahmad, Sri Jaafar, Firdaus Abu serta ramai lagi bekas pemain yang banyak membantu kami bagi merealisasikan minat ini.
"Sekiranya ada bekas pemain yang masih menyimpan jersi era awal 90-an, bolehlah kiranya dapat memberi peluang untuk kami dua beradik menjaganya dengan penuh ikhlas dan rasa tanggungjawab,” ujarnya.
Jika ada pemain atau bekas pemain yang berhasrat menyerahkan khazanah jersi Melaka/Melaka United untuk terus dipelihara, boleh hubungi Alang di talian 017-301 0447.