Hasrat penyokong Melaka United melihat gandingan Manuel Ott dan Adriano untuk mengemudi jentera tengah pasukan musim depan kian samar.
Ini susulan desas-desus Ott bakal mengambil angin baharu berhijrah ke Pantai Timur bagi bersama Terengganu FC.
Biarpun Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim baru-baru ini mendedahkan hasrat untuk mengekalkan pemain berusia 29 tahun itu di Stadium Hang Jebat, namun segalanya tampak kian sukar.
Ott yang beraksi cemerlang sepanjang semusim di Melaka United dilaporkan bakal angkat kaki untuk bersama rakan senegaranya, Luke Woodland ke Terengganu FC.
Difahamkan kontrak sambungan dan rundingan awal telah dibuat pihak pengurusan Melaka United namun sehingga kini masih tiada jawapan daripada bekas pemain United City FC itu.
Jika benar, kelab perlu mengambil inisiatif lain dengan membawa masuk pemain yang berkualiti untuk kuota ASEAN sebagai pelan kecemasan andai Ott berpatah arang berkerat rotan dengan menyertai Terengganu FC.
Untuk rekod, sehingga kini empat muka baharu dibawa masuk Melaka United musim ini seperti Syazwan Andik dan Fadhli Shas secara pinjaman dari JDT, Fadhil Idris (Penang FC) dan Ifedayo Olusegun (Selangor FC).