Selepas lebih tiga tahun berkelana di bumi Hang Tuah, Jang Suk-won dijangka melangkah meninggalkan Melaka United untuk menyertai skuad hijau kuning, Kedah Darul Aman FC.
Ini susulan kontrak pertahanan dari Korea Selatan berusia 32 tahun itu dijangka tidak akan disambung skuad Hang Tuah bagi kempen Liga Malaysia 2022.
Menurut wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Suk-won bakal memperkuatkan barisan pertahanan skuad bimbingan Aidil Shahrin musim depan.
Katanya, perhijrahan Suk-won ke utara tanah air itu belum dimuktamatkan dan masih dalam peringkat perbincangan.
“Suk-Won hampir pasti berhijrah ke Darul Aman musim depan.
“Kali terakhir Kedah DA menggunakan khidmat pertahanan dari Korea Selatan ialah pada 2016, ketika era Bang Seung Hwan,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim baru-baru ini mendedahkan pasukannya hanya akan mengekalkan tiga pemain import, Sony Norde, Manuel Ott dan Adriano.
Masa depan Suk-won masih samar sementara Giovanne Gomes sah tidak akan bersama skuad hijau putih musim depan.
Foto: MUFC