.

.

Melaka United intai khidmat Oti, Baas


Pemain sayap dari Ghana, Emmanuel Oti dan pemain kebangsaan Filipina, Justin Baas dilaporkan diintai Melaka United bagi mempersiapkan pasukan bagi musim 2022.


Kehadiran dua pemain ini mencetuskan persoalan mengenai masa depan Manuel Ott di Stadium Hang Jebat sambil cubaan mendapatkan Oti dilihat sebagai opsyen jika Sony Norde berhijrah.


Menurut wartawan akhbar The Star, T. Avineshwaran, usaha mendapatkan kedua-dua pemain itu sedang dilakukan kelab menjelang musim baharu Liga Malaysia.


“Melaka United sedang memperkukuhkan bahagian sayap dengan mendapatkan khidmat Oti. Dia beraksi bersama Madura (United) dan Velgata Sendai di Jepun.


“Melaka United juga mengintai seorang lagi pemain kebangsaan Filipina. Difahamkan pertahanan, Justin Baas dalam radar mereka bagi musim 2022,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.


Baas sebelum ini pernah membangkitkan kemarahan skuad Sukan Sea 2019 Malaysia apabila dilihat tidak profesional menampar bahu dan pemain negara kita ketika bersalaman sejurus selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Filipina menang 1-0.


Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Justin Lim memberitahu, pemenang kasut emas Liga Super, Ifedayo Olusegun akan menyertai kelab sambil tiga pemain import, Sony; Ott dan Adriano akan dikekalkan.


Namun, jika Oti dan Baas dibawa masuk, pastinya akan ada salah seorang daripada trio musim lalu angkat kaki. Mungkinkah Ott?

Powered by Blogger.