.

.

Pusingan U Akmal Zahir, Wan Amirul Afiq juga kekal


Dikaitkan dengan kepulangan ke Kedah Darulaman, Mohd Akmal Zahir membuat pusingan-U apabila mengambil keputusan untuk kekal menabur bakti bersama Melaka United.

Keputusan yang sukar namun Akmal mengambil keputusan itu atas faktor keluarga.

Bercakap kepada Harian Metro baru-baru ini, pemain pertahanan itu berkata, dia ada menerima tawaran untuk mewakili Kedah DA dan Sri Pahang bagi musim 2022.

Namun, memikirkan isterinya yang bekerja di Selangor, Akmal mengambil keputusan untuk kekal di Melaka United atas faktor jarak antara mereka.

"Ini berikutan isteri bekerja di Seri Kembangan, Selangor dan saya bersama Melaka justeru ia memudahkan urusan kami.

"Dalam masa sama pengurusan dan barisan kejurulatihan juga menunjukkan minat dan kesungguhan tinggi untuk saya kekal bersama skuad Hang Tuah musim depan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pertahanan, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman turut mengambil keputusan untuk kekal bagi tahun keempatnya di Stadium Hang Jebat.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu berkata, dia semakin selasa di Melaka yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya malah berharap mampu akhiri karier di sana.


“Saya gembira apabila musim depan masih kekal bersama Melaka United kerana kalau boleh, saya sudah tidak mahu ke mana-mana memandangkan saya serta keluarga kian selesa di sini.

“Biarpun ada beberapa masalah pernah dilalui pasukan, saya tetap sayangkan Melaka malah yang menjadi kekuatan pasukan ini ialah semangat kekeluargaan yang tinggi dalam kalangan pemain.

“Suasana dalam pasukan sangat seronok malah tiap kali kami bermain, apa jua masalah seperti boleh hilang dan hanya kejayaan Melaka United menjadi keutamaan.

“Sememangnya dalam soal rezeki ini kita boleh merancang namun jika diberi pilihan, saya harap dapat bermain di Melaka sehingga penghujung karier,” katanya kepada Liga Bola Sepa Malaysia (MFL).

Foto: MUFC

Powered by Blogger.