.

.

Senarai pemain, jurulatih belum dimuktamadkan - Justin

Melaka United sedang berusaha memuktamadkan barisan lengkap pemain dan pegawai pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Justin Lim berkata, keputusan akhir akan diumumkan dalam masa terdekat mengikut bajet yang ditetapkan pasukan.


“Pengurusan Melaka United dalam proses perbincangan akhir dan akan mengumumkan secara rasmi barisan kejurulatihan serta senarai pemain yang bakal membawa cabaran pasukan dalam saingan Liga Malaysia 2022 sebelum 31 Disember 2021. 


“Pengurusan sedang merencanakan strategi dan pelan terbaik bersesuaian dengan bajet pasukan dalam misi kami untuk memberikan saingan hebat dalam Liga Malaysia 2022. 


“Sokongan para penyokong MUFC amat dihargai dan semoga dengan sokongan anda menjadi pemangkin kepada kelab bolasepak ini untuk terus mencipta kejayaan demi kebanggaan kita bersama pada masa hadapan,” katanya.


Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di platform media sosial rasmi kelab hari ini.


Ketika pasukan Liga Super lain rancak mengumumkan senarai pemain musim depan, Melaka United masih ‘sunyi’ tanpa mengumumkan sebarang nama secara rasmi pemain yang akan menyertai kelab.


Tindakan itu membangkitkan kemarahan segelintir penyokong yang gusar kemungkinan kelab bakal terlepas pemain utama musim lalu dan pemain-pemain lain yang berpotensi untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan.

Powered by Blogger.