.

.

Syazwan Andik, Fadhli Shas dipinjamkan ke Melaka United

Melaka United dijangka membawa masuk dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Fadhli Shas dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak secara pinjaman bagi musim 2022.

Kehadiran kedua-dua pemain berkenaan dijangka mampu memperkukuhkan benteng pertahanan Melaka United.


Fadhli beraksi di bahagian pertahanan tengah sementara Syazwan Andik yang berusia 25 tahun dijangka mengisi posisi pertahanan kanan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.


Menurut laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kedua-dua bintang itu akan menyertai Melaka United selama semusim.



“Syazwan Andik dilapor bakal melengkapkan perpindahan ke Melaka United secara pinjaman bersama bekas pertahanan Harimau Muda, Fadhli Shas yang merupakan anggota skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 dan skuad emas Sukan SEA 2011.”


Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitternya hari ini.


Pengesahan mengenai perpindahan ini telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim kepada Nadi Arena sebentar tadi.


Perpindahan pemain Liga Malaysia kian rancak selepas beberapa pasukan aktif mengumumkan muka baharu mereka bagi musim depan.


Melaka United setakat ini masih belum mengumumkan secara rasmi pemain baharu yang bakal menyertai skuad hijau putih itu.


Foto: JDT

Powered by Blogger.