Syukri Baharun berhijrah ke Melaka United


Pemain tengah Sabah FC, Mohd. Syukri Baharun dilaporkan bakal memperkuatkan jentera tengah Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022. 


Pemain tengah bertahan berusia 22 tahun itu merupakan produk skuad Piala Belia dan Piala Presiden Sabah.


Tahun 2020 menyaksikan Mohd Syukri dinaikkan pangkat ke skuad utama Sang Badak oleh ketua jurulatih ketika itu, Kurniawan Dwi Yulianto.


Anak jati Kunak itu telah melakukan 14 penampilan untuk Sabah FC sejak diserap ke skuad utama.


Perpindahan Mohd Syukri ke Melaka United dilaporkan oleh akaun Facebook, OH Sabahku yang menyiarkan tangkap layar akaun Instagram pemain tengah tersebut.


“Sekarang baru faham apa maksud kadang ada masa kita perlu lepas benda yang kita sayang. Saya sayang Sabah,” katanya.


Melaka United setakat ini mengumumkan ketibaan Ifedayo Olusegun untuk memperkuatkan pasukan sambil masa depan pemain tempatan belum diputuskan lagi buat masa ini.


Tiga pemain import, Sony Norde, Adriano dan Manuel Ott dilaporkan akan kekal untuk semusim lagi di Stadium Hang Jebat.