Jodoh Zainal bersama Melaka United berakhir


Melaka United akan mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim ini tanpa Zainal Abidin Hassan selepas khidmatnya sebagai ketua jurulatih tidak lagi diperlukan, lapor Utusan Malaysia.

Selepas tiga musim membimbing Melaka United, bekas tonggak kebangsaan itu akan diganti dengan jurulatih baharu biarpun berjaya membawa skuad Sang Kancil melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.


“Memang benar Melaka United akan mendapat jurulatih baharu menggantikan Zainal. Siapa jurulatih itu akan saya umumkan tidak lama lagi termasuk barisan pemain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Seri Justin Lim selepas Kongres Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) ke-66 di Ayer Keroh  semalam.


Mengenai hasrat KenTeam untuk memiliki sepenuhnya saham dengan pegangan 100 peratus ke atas pasukan, Justin berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dengan Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.


“Saya telah mengemukakan pelan perancangan KenTeam ke atas MU yang akan dibawa kepada MUSA untuk diteliti. Perkara ini masih di peringkat perbincangan dan keputusan tersebut akan diketahui tidak lama lagi,” jelasnya.