.

.

Kekal di Melaka United kerana Zainal Abidin


Faktor Zainal Abidin Hassan. Itulah antara faktor utama kebanyakan pemain Melaka United musim lalu kekal di Stadium Hang Jebat untuk kempen baharu Liga Malaysia 2022.

Pertahanan Melaka United, Razman Roslan berkata, ramai pemain kelab itu menolak tawaran daripada pasukan lain semata-mata untuk kekal beraksi di bawah bimbingan Zainal.


"Saya pun tidak pasti apa keputusan daripada pihak pengurusan tetapi apa yang pasti, kebanyakan pemain yang menyambung kontrak bersama Melaka United difahamkan bahawa Zainal masih lagi akan menjadi jurulatih.


"Jadi, ini menjadi sebab ramai pemain menolak banyak tawaran pasukan lain untuk bersama Melaka United.


"Tetapi sehingga ke saat ini, kami masih tidak tahu siapa yang akan menjadi ketua jurulatih, jadi ia sedikit-sebanyak menjadi tanda tanya dan persoalan buat pemain," katanya kepada Nadi Arena hari ini.



Dalam pada itu, ditanya reaksi pemain seandainya Zainal Abidin tidak lagi akan bersama pasukan, Razman berkata secara peribadi dia tidak ada masalah mengenainya kerana dia mahu menggantung but.

"Cuma kasihan kepada pemain lain yang menolak tawaran daripada pasukan lain selepas mendapat tahu bahawa Zainal masih akan disambung kontrak.


"Jadi, apabila kontraknya saya dengar tidak disambung, kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada pasukan ini," katanya lagi.

Powered by Blogger.