.

.

Melaka United janji segera lunas gaji tertunggak

Melaka United memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut tunggakan gaji pemain musim 2021 dengan segera.

Kelab itu menerusi kenyataan hari ini berkata, mereka dalam proses akhir penstrukturan semula dalam pentadbiran dan kewangan.

“Pengurusan kelab memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan (gaji) dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan Melaka United bagi tahun 2022 berjalan lancar.

“Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama pemain dan pegawai Melaka United.

“Sokongan daripada semua pihak khususnya penyokong amat kami hargai dan semoga 2022 menjadi tahun gemilang buat Melaka United,” katanya.

Astro Arena hari ini melaporkan dakwaan bekas pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari mengenai tunggakan gaji selama tiga bulan oleh bekas majikannya, Melaka United.

Perkara ini katanya melibatkan semua pemain dan pegawai pasukan sementara isu ini turut mendapat perhatian daripada Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

Powered by Blogger.