.

.

MUFC tunai janji lunas gaji tertunggak


Berita baik buat pemain dan pegawai Melaka United musim lalu apabila kelab berjaya melunaskan keseluruhan gaji tertunggak hari ini.


Menerusi satu kenyataan, Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) memaklumkan bayaran tersebut telah dilaksanakan selepas penstrukturan kewangan dilaksanakan.


“MUFC hari ini telah melunaskan keseluruhan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super bagi musim 2021. Dengan ini, perancangan pasukan bagi musim 2022 berada di landasan yang tepat. 


“Melaka United juga kini sedang dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi memberikan cabaran yang hebat dalam Liga Malaysia musim ini yang akan bermula dengan saingan Liga Super Malaysia pada 5 Mac 2022.


“Pihak pengurusan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pemilik, KenTeam Sdn Bhd yang dipimpin oleh Datuk Justin Lim kerana telah memikul segala tanggungjawab Kelab Bola Sepak Melaka United sejak tahun 2021,” katanya.


Sebelum ini beberapa bekas pemain Melaka United mendedahkan mengenai tunggakan gaji selama tiga bulan oleh kelab sebelum mereka angkat kaki menyertai pasukan lain.

Powered by Blogger.