Melaka United mengekalkan seramai 13 pemain daripada skuad musim 2021 termasuk Sony Norde dan Adriano bagi mengharungi kempen baharu Liga Malaysia 2022.
Skuad hijau putih itu juga dijangka membawa masuk sekurang-kurangnya 10 muka baharu bagi memperkuatkan pasukan bagi mencapai sasaran kelompok tiga terbaik Liga Super.
Antara pemain lain yang dikekalkan adalah Mohd Akmal Zahir, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman, Ahmad Syamim Yahya, Khairul Anwar Sahruddin dan Hasbullah Abu Bakar.
Selain itu, Melaka United turut mengekalkan penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali; Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Fakhrullah Rosli, Mohd Razman Roslan, Faizal Talib dan Hazim Abu Zaid.
Bagi musim 2022, Melaka United turut meminjam dua pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Fadhli Shas dan Syazwan Andik; mengikat pemain tengah Penang FC, Fadhil Idris serta menandatangani semula penyerang prolifik, Ifedayo Olusegun dari Selangor FC.
Difahamkan pengurusan Melaka United akan mengumumkan senarai pemain bagi musim 2022 pada minggu depan.