Melaka United sah tidak sambung khidmat Zainal Abidin


Selepas tiga musim di Stadium Hang Jebat, Zainal Abidin Hassan akhirnya mengucapkan selamat tinggal buat penyokong Melaka United apabila kontraknya yang berakhir November lalu sah tidak disambung.

Melaka United menerusi kenyataan hari ini mengesahkan pemergian lagenda bola sepak negara itu sejak menyertai pasukan pada 2018.


Zainal Abidin menyertai Melaka United pada November 2017 bagi menggantikan E. Elavarasan selepas membimbing pasukan Pulau Pinang. 


“Sepanjang membimbing Melaka United, beliau telah membawa pasukan melakar pencapaian terbaik setakat ini dalam saingan Liga Super Malaysia iaitu di tempat ke-6 liga pada musim 2019. 


“Beliau hampir melakar sejarah baharu bola sepak Melaka apabila hampir membawa skuad hijau putih ke pentas akhir Piala Malaysia buat pertama kali musim lalu sebelum tewas kepada KL City FC menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir.


“Kami amat menghargai segala yang telah dicurahkan buat pasukan dan bolas sepak negeri Melaka selama mengemudi Skuad Hang Tuah. 


“Semoga beliau diberikan kesihatan yang baik, maju jaya dalam karier kejurulatihan selepas ini dan dapat terus mencurahkan bakti buat bolasepak negara pada masa hadapan,” katanya.


Kekosongan kerusi ketua jurulatih Melaka United dijangka akan diisi oleh bekas pengendali United City FC, Risto Vidakovic.