.

.

Faizal curi tumpuan, saingan rebut kesebelasan utama terbuka


Melaka United meneruskan persiapan menjelang pembukaan aksi Liga Super Mac ini apabila melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Biarpun tewas 0-1 kepada skuad bimbingan Nafuzi Zain, aksi Melaka United terutama di babak pertama memberikan bayangan pasukan ini mampu menjelmakan sesuatu musim ini.

Biarpun tanpa dua pemain import, Sony Norde dan Ifedayo Olusegun, anak buah Risto Vidakovic beraksi dengan baik dengan formasi 4-3-3 kegemaran pengendali itu.

Paling mencuri tumpuan, pemain muda Mohd Faizal Talib yang diturunkan dalam kesebelasan utama bergandingan bersama Emmanuel Oti Essigba dan Norshahrul Idlan Talaha.

Biarpun jarang diturunkan musim lalu, Faizal menggunakan kelebihannya menerusi larian pantas bagi melepasi kawalan pertahanan TFC.

Adriano yang kembali untuk musim keduanya di Melaka pula menjadi jeneral di bahagian tengah dan berjaya mencipta beberapa gerakan dan cubaan.

Pemain tengah dari Sabah, Syukri Baharun yang bergandingan bersama Adriano dan Hasbullah Abu Bakar dilihat tidak kekok mengemudi jentera tengah pasukan.


Sementara itu, pertahanan import, Justin Baas juga dilihat cukup tenang mengawal asakan TFC bergandingan bersama Fadhli Shah di bahagian pertahanan tengah.

Menjelang 30 minit terakhir, Risto melakukan rombakan besar-besaran dengan memasukkan sembilan pemain simpanan termasuk Syazwan Andik.

Barisan pemain ini turut dilihat mampu menyaingi pasukan utama lawan dan terlepas beberapa peluang keemasan. 

Aksi menentang TFC juga membuktikan bahawa skuad yang dimiliki Risto musim ini lebih kompetetif, dimana setiap pemain bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Pemisah perlawanan ditentukan hasil jaringan penalti Jordan Mintah pada minit ke-76 perlawanan.

Perlawanan malam tadi merupakan aksi pramusim kedua Melaka United musim ini selepas tumpas 0-4 kepada Selangor FC 2 minggu lalu.

Melaka United akan menjalani satu lagi aksi pramusim menentang pasukan Selangor sebelum memulakan kempen Liga Super bulan depan.

Foto: MUFC
Powered by Blogger.