.

.

5 perkara kita pelajari daripada aksi di Stadium Bandaraya


Satu mata berharga dibawa pulang skuad bimbingan Risto Vidakovic malam tadi selepas mengikat skuad tempang Penang FC yang turun tanpa penyerang import, Anselmo Cassagrande dan Endrick dos Santos yang digantung perlawanan.

Aksi di separuh masa pertama jelas seakan ulangan prestasi ketika tumpas 0-1 kepada PJ City FC minggu lalu namun persembahan lebih bertenaga dipamerkan di babak kedua.

Berikut merupakan lima perkara yang kita dapat dari aksi di utara tanahair malam tadi.

Skuad yang belum serasi


Nampak seperti alasan mudah namun itulah hakikat sebenar. Biarpun turun memulakan latihan pramusim enam minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia, namun kehadiran lewat Risto dan beberapa pemain import menyebabkan perancangan terganggu.

Dengan tidak banyak pilihan dan dakwaan pemain yang dipilih adalah cadangan daripada bekas pengendali, Zainal Abidin Hassan, Risto kesuntukkan masa untuk menggarap taktikal yang bersesuaian.

Pengendali kelahiran Bosnia Herzegovina itu hanya sempat menyaksikan skuad baharunya tewas 0-4 kepada Selangor FC II sebelum mengendalikan dua lagi aksi pramusim menentang Terengganu FC dan skuad Liga Super Selangor FC.

Keputusan mengekalkan 12 pemain musim lalu dan digandingkan dengan muka-muka baharu pastinya memerlukan masa untuk mencipta keserasian sambil memahami taktikal Risto yang gemar menggunakan formasi 4-3-3 bertahan.

Ahmad Haziq, Faizal Talib sedia rebut kesebelasan utama


Aksi kedua Liga Super menentang Penang FC menyaksikan Risto melakukan dua perubahan dengan menyenaraikan muka baharu, Ahmad Haziq Puad dan pemain muda, Faizal Talib.

Prestasi yang dipamerkan Ahmad Haziq jelas membuktikan dia bakal mencabar tempat di pertahanan kanan yang sebelum ini diisi Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman. 

Tandukan tipis Ahmad Haziq memberikan Melaka United gol penyamaan selepas bola sentuhannya terkena Abdul Latiff Suhaimi sebelum masuk ke menerjah gawang tuan rumah.

Sementara itu, Faizal pula dilihat selesa beraksi di bahagian sayap kiri dan menjadi ancaman menerusi larian berbahaya masuk ke kotak penalti lawan.

Pemainan yang ditampilkan Faizal semakin matang dan jika diberikan masa dan bimbingan yang betul tidak mustahil dia mampu 'merampas' satu tempat dalam kesebelasan utama. Pemain ini juga dikhabarkan melakukan latihan ekstra selepas sesi latihan pasukan.

Jentera tengah yang hampir karam


Lompong yang ditinggalkan Manuel Ott selepas berhijrah ke Terengganu FC pastinya dirasai pasukan. Adriano yang begitu selesa bergandingan bersama pemain antarabangsa Filipina itu dilihat sedikit hilang punca dalam dua aksi awal Liga Super.

Kehilangan Ott tidak digantikan dengan pemain berkualiti yang sama atau lebih baik daripadanya.

Kelompongan ini jelas dapat dilihat dalam dua aksi awal Liga Super sehinggakan pemain serangan, Sony Norde, Emmanuel Oti mahupun Ifedayo Olusegun terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola.

Risto setakat ini telah mencuba dua gandingan, Hasbullah Abu Bakar-Adriano-Fadhil Idris dan menurunkan Hasbullah-Adriano dan Sony ketika berdepan Penang FC.

Syukri Baharun yang sebelum ini digandingan dalam dua aksi pramusim dijangka akan disenaraikan semula dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan.

Pemain impot belum pamer kualiti sebenar


Keputusan mengikat tiga pemain import di jentera serangan menghadirkan peluang jaringan gol yang banyak mungkin dihasilkan musim ini.

Apatah lagi diperkuatkan dengan kepulangan semula penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo yang ditugaskan untuk mengetuai jentera serangan. 

Bagaimanapun, kelibat Ifedayo dan Oti setakat ini belum memperlihatkan kemampuan sebenar. Mungkin disebabkan kurang sokongan dari bahagian tengah.

Ifedayo yang mula turun menyertai latihan pramusim 23 Februari lalu dan memerlukan masa untuk mendapatkan semula kecergasan serta mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.

Bagi Oti pula, dua aksi yang dipamerkan agak hambar di bahagian sayap kanan. Pemain kelahiran Ghana ini perlu meningkatkan prestasi jika mahu jodoh di Bandaraya Melaka kekal untuk sekurang-kurangnya semusim.

Separuh masa kedua yang menampakkan sinar


Bukan soal Penang FC mengendurkan serangan di babak kedua tetapi pemain Melaka United dilihat meningkatkan intensiti dan mencipta beberapa peluang berbahaya.

Melaka United beraksi dengan lebih baik dengan keyakinan pemain cukup tinggi selepas keluar dari bilik persalinan sehingga menyukarkan Penang FC untuk terus menguasai perlawanan.

Prestasi yang dipamerkan di separuh masa kedua perlu dikekalkan momentumnya menjelang aksi Piala FA menentang Persada Integriti Bersatu FC (PIB) minggu ini.

Jika pemain-pemain dapat segera mencari keserasian, kecergasan dan menerapkan taktikal dengan segera, sudah pasti pasukan ini mampu mencipta sesuastu di musim 2022.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.