.

.

Aksi Piala FA Melaka United-PIB FC ditunda


Aksi pusingan pertama Piala FA 2022 antara Melaka United dan PIB FC yang dijangka berlangsung esok akan ditunda ke satu tarikh baharu.

Melaka United menerusi satu kenyataan berkata, ini susulan sebahagian besar daripada pemain dan pegawai pasukan disahkan positif COVID-19.


“Melaka United telah memohon kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menunda perlawanan ke satu tarikh lain dan permohonan itu diterima.


“Penundaan perlawanan adalah untuk melindungi kesihatan kesemua yang terlibat termasuk penyokong daripada COVID-19,” katanya hari ini.


Dalam pada itu, penyokong yang telah membeli tiket secara atas talian di Ticket Hotline, mereka boleh menggunakannya pada perlawanan yang dijadualkan semula nanti.


Sebelah petang tadi difahamkan kurang daripada 10 pemain Melaka United menjalani latihan sekali gus mencetuskan persoalan mengenai status perlawanan esok.


Penyerang, Norshahrul Idlan Talaha menerusi akaun Instagramnya kelmarin dilihat memberi bayangan dirinya terpaksa dikuarantin akibat COVID-19.

Powered by Blogger.