Melaka United buka aksi Liga Super dengan langkah kiri


Segala serba tidak menjadi. Aksi di Stadium MBPJ Petaling Jaya malam tadi mencerminkan kepincangan skuad bimbingan Risto Vidakovic.

Usahakan tiga mata, satu mata pun terlepas daripada dibawa pulang ke Melaka selepas tumpas 0-1 kepada PJ City FC.


Kurangnya aksi pramusim, tiada persefahaman antara pemain, kepincangan di bahagian tengah serta pemain lewat sertai kem masih belum cergas sepenuhnya antara yang boleh dijadikan alasan atas persembahan hambar malam tadi.


Biarpun menurunkan kesemua pemain import, Melaka United berdepan skuad P. Maniam yang dibarisi pemain tempatan gagal mengusai perlawanan.


Peluang terbaik dicipta pada awal separuh masa pertama menerusi Emmanuel Oti namun percubaan pemain sayap kelahiran Ghana itu sedikit tersasar.


Dan ketika hampir menuju ke bilik persalinan separuh masa, PJ City FC berjaya meledak gol pendahuluan hasil jaringan voli menarik bekas pemain sayap Melaka United, S. Kumaahran.


Tidak banyak perubahan taktikal dilakukan Risto di babak kedua. Kelemahan di barisan tengah jelas digunakan sebaik mungkin tuan rumah untuk menekan Melaka United.



Skuad hijau putih berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi Mohd Fadhli Shas tetapi tandukannya melepasi palang gol tuan rumah yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz Mat Rozi.


Taktik melengahkan perlawanan diaktifkan tuan rumah pada 10 minit terakhir dengan sekurang-kurangnya tiga pemain mereka termasuk penjaga gol dilihat ‘tumbang’ kerana kecederaan.


Melaka United akan meneruskan aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Selasa depan.