.

.

Penang FC, Melaka United kongsi mata


Melaka United mengutip mata sulung di Liga Super musim ini selepas mengikat Penang FC, 1-1 di Stadium Bandaraya malam tadi.

Risto Vidakovic melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama yang tumpas kepada PJ City FC Sabtu lalu dengan membawa masuk Ahmad Haziq Puad dan Faizal Talib menggantikan Muhammad Fauzan Fauzi dan Muhammad Fadil Idris.

Tuan rumah terus mengasak Melaka United sejak wisel sepak mula ditiupkan dan memperoleh beberapa peluang terbaik mendapatkan gol awal.


Minit keempat menyaksikan tandukan Faizat Ghazli sedikit tersasar sementara selang dua minit kemudian, sepakan percuma Rafael Vitor dari jarak jauh terkena tiang sebelum keluar ke bahagian kanan gawang pelawat.

Usaha Penang FC mendapatkan gol pendahuluan berhasil pada minit ke-27 apabila pemain tengah, Daniel Ashraf Abdullah berjaya lolos masuk ke kotak penalti Melaka United sebelum merembat kencang melepasi Norazlan Razali.

Barisan tengah Melaka United dilihat masih tercari-cari rentak dalam aksi kedua yang menyaksikan tuan rumah mendominasi perlawanan.

Melaka United tanpa disangka berjaya menyamakan kedudukan sebelum berakhir babak pertama.


Bermula daripada sepakan penjuru Sony Norde, Ahmad Haziq berjaya menanduk tipis bola yang kemudiannya terkena kapten Penang FC, Abdul Latif Suhaimi untuk mengikat kedudukan 1-1.

Penang FC hampir sahaja mendapat gol kedua pada minit ke-47 apabila tandukan Hilal El-Helwe dikeluarkan Ahmad Haziq di atas garisan.


Melaka United cuba bangkit selepas itu menerusi dua percubaan berturut-turut daripada Emmanuel Oti dan Adriano namun kedua-duanya tepat ke dakapan penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil.

Pada minit ke-66 menyaksikan rembatan deras jarak jauh kapten, Hasbullah Abu Bakar ditepis keluar penjaga gol lawan.

Anak buah Risto berpeluang di depan pada minit ke-77 apabila pemain gantian, Syukri Baharun berjaya melakukan larian menarik masuk ke kotak penalti tuan rumah, namun hantaran silangnya dikeluarkan pertahanan lawan sebelum sempat disentuh Sony.

Ifedayo Olusegun terlepas peluang untuk menjaringkan gol sulungnya bersama Melaka United nemun percubaannya pada masa kecederaan diselamatkan Khatul Anuar.

Powered by Blogger.