.

.

Isu klise, Risto sahkan tunggakan gaji punca prestasi hambar anak buahnya


Seperti yang dijangka, prestasi hambar skuad Melaka United dalam tiga aksi Liga Super musim ini berkait dengan isu tunggakan gaji.

Skrip sama berulang lagi saban tahun biarpun sudah mempunyai pemilik sendiri yang bukan dalam kalangan pemimpin politik.

Jika dihimpun buku skrip sejak sekian lama, sudah bertimbun skrip tunggakkan dan jika dihimpun mahu setinggi Bukit Batu Lebah di Bukit Senggeh.

Sebelum perlawanan, terdengar desas-desus terdapat tunggakan gaji selama tiga bulan yang masih belum dijelaskan dan akhirnya perkara ini diakui sendiri ketua jurulatih, Risto Vidakovic.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, pengendali berusia 53 tahun itu menyifatkan isu tunggakkan gaji dalam kalangan kelab di negara ini adalah sesuatu yang tidak profesional.



Katanya, disebabkan isu tunggakan gaji antara dua hingga tiga bulan itu, fokus dan motivasi pemain terganggu dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Kalau dahulu saya sering marah pemain kerana lewat menjalani latihan, dan hari ini saya sudah tahu mengapa dan cuba memahami keadaan mereka, pemain telah berikan yang terbaik dan semampunya.


“Isu penting (gaji) ini antara penyebab pemain-pemain tidak dapat memberikan fokus di padang.


“Masalah ini pertama kali saya hadap untuk kesekian kali sepanjang saya berkecimpung dalam arena bola sepak, saya menceburi arena ini pada umur 17 tahun dan kini saya sudah 53 tahun.


“Hal ini tidak sepatutnya berlaku jika ingin melihat pasukan ini pergi lebih jauh, pemain perlu ada motivasi dan motivasi datang dari perkara penting (gaji),” katanya seperti dipetik daripada portal Melaka Hari Ini.


Melaka United mencatatkan keputusan hambar dengan satu seri dan dua kekalahan dalam tiga aksi pertama Liga Super. 


Foto: MUFC

Powered by Blogger.