Melaka United tempang tanpa 3 pemain import hadapi KL City


Melaka United bakal turun menentang KL City FC malam esok tanpa tiga tonggak import gara-gara kecederaan.

Diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga, skuad kendalian Risto Vidakovic akan turun ke Cheras tempang tanpa Ifedayo Olusegun, Adriano dan Emmanuel Oti.

Ifedayo dan Adriano sebelum ini diketepikan dalam aksi menentang Sabah Selasa lalu sementara difahamkan Oti mengalami kecederaan ketika perlawanan tersebut.



Ketiadaan ketiga-tiga pemain ini merupakan tamparan hebat buat Risto yang kini dalam usaha memulihkan semangat pemainnya selepas dilaporkan dinafikan gaji selama tiga bulan.

Dua lagi pemain import, Sony Norde dan Justin Baas dilihat turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Stadium KLFA Cheras petang tadi.

Penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha dijangka sekali lagi diberikan kepercayaan mengetuai jentera serangan skuad hijau putih malam esok menentang juara Piala Malaysia itu.


Foto: MUFC