.

.

Risto direhatkan, Asri pangku tugas sementara


Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Peribahasa itu tepat untuk menggambarkan situasa yang dialami ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic apabila direhatkan pasukan.

Ini gara-gara pendedahannya mengenai isu tunggakan gaji yang melanda pasukan dalam sidang media selepas aksi menentang Sabah FC baru-baru ini.


Terma ‘direhatkan’ atau lebih jelas lagi dipecat kerap digunakan pasukan-pasukan di Liga Malaysia bagi menggambarkan nasib pengendali masing-masing.


Diburukkan lagi dengan rekod tiga kekalahan dan satu keputusan seri dalam aksi awal Liga Super, tidak hairan mengapa Risto ditunjukkan jalan keluar.


Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pembantu jurulatih, Asri Ninggal akan mengambil-alih sementara tugas pengendali dari Bosnia tersebut.


“Risto jadi jurulatih pertama direhatkan? Difahamkan, beliau tidak akan mengendalikan pasukan bermula esok selepas empat perlawanan dan Asri Ninggal dikatakan akan bertindak sebagai interim coach,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.


Akhbar Harian Metro semalam melaporkan, Risto diberikan surat amaran kerana membocorkan rahsia mengenai isu dalam yang melanda kelab.



Pemilik, Datuk Seri Justin Lim berkata, walaupun Risto sudah memohon maaf atas keterlanjurannya, beliau tetap dengan pendirian mahu mengambil tindakan susulan kepada jurulatih itu.

"Pada peringkat awal ini, kami memberinya surat amaran dan tindakan lanjut akan diambil kelak supaya perkara sama tidak berulang," katanya.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.