Risto paling singkat, Zainal Abidin paling lama: Kisah pengendali Melaka United di Liga Super


Risto Vidakovic menjadi ketua jurulatih pertama di Liga Malaysia yang direhatkan (disingkirkan) musim ini. Menariknya, pengendali berasal dari Bosnia itu menjadi ketua jurulatih paling singkat jodohnya di Melaka United sejak dilantik pada 22 Januari lalu.

Berikut merupakan ketua jurulatih yang pernah membimbing Melaka United sejak naik ke Liga Super pada 2017. 

Eric Williams (2016-17)


Segalanya serba tidak menjadi buat 
ketua jurulatih berbangsa Inggeris, Eric Williams ini sejak menyertai Melaka United selepas membimbing dari kelab Myanmar, Yangon FC menjuarai liga di negara tersebut.

Bermula dengan pelantikannya yang menjadi pertikaian, gara-gara penyokong berbeza pendapat kerana mahu Mat Zan Mat Aris dikekalkan selepas membawa kejayaan segera, menjuarai Liga FAM (M3) dan Liga Premier.

Tiada pengalaman mengendalikan mana-mana pasukan di negara ini, William sukar memenangi dan menguasai bilik persalinan yang berpecah kepada dua kumpulan. Selain itu, pengendali berusia 66 tahun itu didakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan staf kejurulatihan.

Williams juga gagal menyatukan Ilija Spasojevic dan Amri Yahyah untuk menjadi pasangan serangan yang digeruni di Liga Super.

Hal itu diterjemahkan dengan keputusan hambar sepanjang musim 2017 apabila kelab sekadar meraih sebelas mata hasil dua kemenangan, lima seri dan lima kekalahan dalam 12 perlawanan Liga Super yang menyebabkan Melaka United berada dalam zon penyingkiran.

Direhatkan ketika aksi menentang Felda United, kelibat Williams dibangku simpanan tidak kelihatan lagi selepas itu sebelum khidmatnya sah ditamatkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Eduardo Almeida (2017-18)


Memerlukan hampir sebulan sebelum Eduardo Almeida tiba di Stadium Hang Jebat sebagai pengganti Williams. Seakan belajar dari kesilapan lalu, Melaka United kali ini melantik seseorang yang pernah berkhidmat di Liga Malaysia.

Menyifatkan pengalaman di Liga Malaysia bersama T-Team sangat-sangat diperlukan kelab, pemilihan Almeida dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah yang melanda pasukan.

Pengendali berbangsa Portugis itu berjaya membawa pasukan yang bergelut di zon penyingkiran ketika itu menamatkan saingan di kedudukan kelapan sekali gus dihadiahkan lanjutan kontrak selama setahun.

Almeida juga diberikan peluang membawa barisan kejurulatihannya sendiri. Miguel Jose Leite dilantik sebagai pengarah teknikal, Valdmir Galmbicka (fisio) dan Joao Pedro Baptista (jurulatih kecergasan).

Namun, 'sumpahan Williams' terus menghantui pasukan pada 2018 apabila Melaka United sekali lagi berada di zon penyingkiran, menjelang Mei.

Selepas Sathit Bensoh di Kelantan, Almeida menjadi ketua jurulatih kedua disingkirkan. Dalam lapan perlawanan, Melaka United sekadar mengutip 12 mata, tiga kemenangan dan lima kekalahan. Sepanjang tempoh itu, skuad bimbingan Almeida meledak sembilan gol dan dibolosi sebanyak 15 kali.

E. Elavarasan (2018)


Tidak menunggu lama, Melaka United bertindak pantas melantik bekas pengendali PKNS FC, E. Elavarasan sebagai ketua jurulatih. 

Tiada sasaran khusus, Elavarasan diberikan tanggungjawab menyelamatkan pasukan di pusingan kedua kempen Liga Malaysia.

Ketika mengambil-alih pasukan Melaka United berada di kedudukan ke-10, Elavarasan pantas menerapkan corak permainan lebih positif dan menamatkan saingan di kedudukan ketujuh Liga Super dengan 31 mata.

Namun, pengendali itu enggan menyambung kontrak baharu untuk kekal di Stadium Hang Jebat bagi memberi fokus terhadap kursus kejurulatihan.

Zainal Abidin Hassan (2019-2021)


Lagenda bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin Hassan menjadi pilihan Melaka United bagi menerajui pasukan.

Diberikan kebebasan dalam pemilihan pemain dan staf kejurulatihan, bekas penyerang Selangor itu membawa masuk Asri Ninggal, Muhammad Nidzam Adha dan Mazlan Wahid bagi membantunya membentuk skuad yang ampuh.

Dengan pengaruh yang dimiliki, Zainal Abidin berjaya memujuk bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim menyertainya di Stadium Hang Jebat.

Antara pemain lain yang menyertai revolusi Zainal Abidin adalah Mohd Razman Roslan, Mohd Shukor Adan, R. Gopinathan, Mohd Nazrin Nawi dan ramai lagi.

Menang enam, seri (1) dan tewas sekali dalam aksi pramusim seakan memberikan bayangan masa depan yang cerah di bawah bekas pengendali Pahang itu. 


Memulakan saingan dengan baik mencabar kedudukan teratas liga, penurunan prestasi di pertengahan musim menyaksikan Melaka United menamatkan saingan di tangga keenam, dibezakan satu mata dengan Kedah yang dikedudukan keempat.

Musim kedua menyaksikan Zainal Abidin kehilangan pemain konsisten Patrick Reichelt tetapi beliau membawa masuk Uche Agba daripada PDRM, Romel Morales (PKNS FC) dan Sony Norde (Zira FK).

Berdepan pandemik COVID-19, perlawanan Liga Super 2020 berlangsung sebanyak 11 perlawanan sahaja. Melaka United dibawah bimbingan Zainal Abidin menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan 11 mata, dibezakan empat mata daripada zon penyingkiran. 

Kedudukan tersebut adalah selepas Melaka United ditolak tiga mata kerana kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji seperti yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Khidmat Zainal terus ditagih pasukan untuk tahun berikutnya. Ditolak tiga mata diawal saingan liga, juga kerana isu tunggakan gaji. Melaka United menempuh aksi terumbang-ambing di saingan Liga Super dan menamatkan saingan ditangga kelapan di belakang PJ City FC.

Biarpun begitu, dalam saingan Piala Malaysia menyaksikan pasukan ini beraksi jauh baik. Menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan teratas dengan rekod lima kemenangan dan satu seri.

Pencapaian menakjubkan terus dipamerkan pasukan apabila menyingkirkan Sabah 3-1 secara agregate di peringkat suku akhir namun kemaraan terhenti di separuh akhir apabila tewas 3-5 kepada Kuala Lumpur City FC selepas terikat 2-2 secara agregate.

Zainal Abidin mengharapkan kontrak sambungan selepas pencapaian hebat di Piala FA namun pemilik, Datuk Seri Justin Lim mengambil pendekatan sebaliknya. Zainal menjadi pengendali paling lama bertahan di Melaka United era pasca Liga FAM.

Risto Vidakovic (2022)


Tiba di Malaysia dengan reputasi juara bersama United City FC di Filipina dan Maziya (Maldives), Risto Vidakovic diletakkan harapan tinggi untuk membentuk pasukan baharu di bawah pengurusan Kenteam.

Diberikan penunjuk prestasi utama (KPI) menamatkan saingan Liga Super di kedudukan tiga terbaik dan menjulang sekurang-kurangnya satu trofi, nasib nyata tidak menyebelahi Risto.

Mempunyai masa suntuk mempersiapkan pasukan, lebih kurang sebulan, cabaran besar buat Risto selepas tiba lewat di Malaysia dan terpaksa menjalani kuarantin wajib sebelum dibenarkan mengendalikan sesi latihan pertama pasukan pada 6 Februari lalu.

Beberapa pemain juga terlepas sesi latihan pramusim termasuk Ifedayo Olusegun dan Sony Norde selepas menjalani kuarantin wajib dan dijangkiti COVID-19.

Memulakan kempen dengan langkah kiri apabil tewas 0-1 kepada PJ City, Risto kemudiannya memperoleh mata pertama selepas mengikat Penang FC 1-1 di gelanggang lawan.

Namun, dua kekalahan 0-1 kepada Sabah FC dan Kuala Lumpur (0-2) memberikan Risto rekod terburuk empat perlawanan awal Liga Super pasca Liga FAM selepas hanya mengutip satu mata.

Pengendali berusia 53 tahun itu juga tidak berselindung mengenai masalah tunggakan gaji yang dialami pasukannya selepas mendedahkannya dalam sidang media selepas aksi menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat.

Selepas perlawanan keempat Liga Super di Cheras, Risto dilaporkan direhatkan pasukan.

Foto: MUSA, MUFC