.

.

Sabah FC hukum kesilapan sendiri Melaka United


Tiada kepimpinan, organisasi dan bagai hilang punca. Itulah yang dapat disifatkan dalam persembahan hambar yang ditampilkan anak buah Risto Vidakovic ketika melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Turun tanpa dua tonggak import, Ifedayo Olusegun dan Adriano amat dirasai skuad hijau putih terutama di jentera tengah sehingga memaksa Sony Norde diletakkan di luar posisi, beralih ke bahagian tengah bergandingan bersama Hasbullah Abu Bakar dan Fakhrullah Rosli.

Selepas 20 minit perlawanan, Melaka United kehilangan seorang lagi tonggak import apabila Emmanuel Oti terpaksa di bawa keluar kerana kecederaan dan digantikan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.


Hantaran jarak jauh pertahanan Sabah FC, Nazirul Naim pada minit ke-25 tampak mudah ditangani apabila ditangkap penjaga gol, Norazlan Razali. Namun, hantaran bola ke rakan sepasukan selepas itu disifatkan satu bencana.

Hasbullah gagal mengawal bola dengan baik diasak Park Tae-Su sehingga membawa kepada gol tunggal Sabah FC. 

Pemain import dari Korea Selatan itu memperdaya dua pertahanan Melaka United sebelum melakukan rembatan leret melepasi kawalan Norazlan untuk meletakkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee di depan.


Prestasi hambar jelas terlihat di babak pertama sehingga membuatkan Risto melakukan dua lagi pertukaran sebelum menuju bilik persalinan.

Melaka United memperkemaskan permainan di babak kedua namun gagal mencipta peluang terbaik untuk menghasilkan gol sebaliknya Norazlan lebih banyak bekerja keras memastikan tiada gol dibolosi di babak kedua.

Kekalahan 0-1 kepada Sabah FC malam tadi merupakan kekalahan kedua Melaka United di Liga Super musim ini selepas tunduk dengan jaringan sama kepada PJ City pada aksi pertama sebelum seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya.

Foto: MUFC
Powered by Blogger.