'U-turn': Sony Norde kekal di Melaka United


Penyokong Melaka United mendapat perkhabaran gembira menjelang pertembungan dengan Sarawak United esok apabila pemain sayap sensasi, Sony Norde mengesahkan dirinya akan kekal bersama skuad hijau putih.

Perkhabaran itu disampaikan pemain antarabangsa Haiti itu menerusi hantaran di akaun Instagramnya petang tadi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang (tidak berbelah-bagi) menyokong saya dan Datuk Seri Justin (Lim) sepanjang berada di kelab ini.

"Buat masa ini, saya komited dan akan memberikan persembahan terbaik untuk kelab kesayangan anda (penyokong). 

"Selain itu, saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Melaka United yang menilai situasi (yang melanda) dan melakukan yang terbaik (bagi menyelesaikannya). 

"Diharap anda akan berada di sisi saya dan kelab dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam baki perlawanan akan datang," ujarnya hari ini.


Sony sebelum ini dilaporkan tidak gembira dengan situasi di Melaka United termasuk pemergian bekas ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta isu gaji tertunggak yang didakwa mencetuskan suasan kurang harmoni di bilik persalinan.

Beberapa pemain lain juga dikhabarkan sedia angkat kaki jika pengurusan kelab gagal melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan seperti yang didakwa.

Difahamkan Justin selaku pemilik berjaya menyelesaikan masalah ini bagi memastikan persiapan Melaka United bagi menghabiskan saingan Liga Super musim ini tidak terjejas.

Foto: MUFC