Aksi Melaka United-JDT catat rekod kehadiran penonton tertinggi di Hang Jebat


Perlawanan dua pasukan selatan, Melaka United dan Johor Darul Ta'zim (JDT) malam tadi menyaksikan satu rekod baharu dalam bilangan kehadiran penonton di Stadium Hang Jebat musim ini.

Aksi yang berkesudahan dengan keputusan 1-1 itu merekodkan kehadiran seramai 14,652 penonton dengan tiket yang diperuntukkan bagi penyokong lawan habis terjual.

Untuk rekod, sebelum ini kehadiran penyokong tertinggi di laman sendiri Melaka United dicatatkan dalam aksi Liga Super 2022 menentang satu lagi pasukan jiran, Negeri Sembilan FC dengan jumlah 4,105 penonton.


Secara puratanya, sebelum aksi malam tadi, bilangan penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Hang Jebat adalah 1,870 sahaja dalam lima perlawanan.

Peningkatan ini merupakan sesuatu yang positif buat pasukan kerana kehadiran lebih ramai penonton ke stadium pastinya dapat menyuntik sedikit sebanyak pengutan tiket bagi membantu menjana pendapatan kelab.


Melaka United akan mengharungi tiga aksi akan datang di laman sendiri bermula dengan menentang Selangor pada Selasa, 5 Julai, diikuti PJ City (20 Julai) dan Penang FC (26 Julai).

Kelebihan beraksi dilaman sendiri ini perlu digunakan sebaik mungkin anak buah Mohd Asri Ninggal dengan mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan.

Apapun, tahniah buat penyokong Melaka United dan JDT. Diharapkan bilangan kehadiran penonton akan meningkat dalam setiap perlawan sekali gus dapat menyuntik moral pemain untuk terus berjuang demi pasukan hijau putih.

Foto: MUFC