.

.

Ifedayo kembali hantui Selangor, bantu Melaka United lakar kemenangan


Pemenang kasut Emas Liga Super 2021, Ifedayo Olusegun kembali menghantui bekas kelabnya, Selangor FC apabila meledak dua gol bagi membantu Melaka United menundukkan Red Giants 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Terlepas aksi menentang JDT 2 Julai lalu, Ifedayo kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi mengetuai jentera serangan Melaka United.

Dan aksi malam tadi menyaksikan Selangor FC berpeluang memperoleh gol seawal minit ketujuh namun tandukan pertahanan, Yazzan Al-Arab tersasar ketika penjaga gol Melaka United, Bryan See sudah pun tertewas.

Pelawat terus mengasak dan terus menguji See pada minit ke-16 menyaksikan percubaan Hein Htet Aun dari dalam kawasan penalti terus ke dakapan penjaga gol Melaka United itu.


Ifedayo berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-39 selepas mudah menolak masuk bola hantaran silang di depan gol.

Gerakan tersebut terhasil daripada larian menarik Sony Norde yang berjaya menewaskan pertahanan Selangor FC dari bahagian sayap kiri sebelum melintang bola kepada Ifedayo untuk meletakkan Melaka United satu gol di depan ketika menuju ke bilik persalinan separuh masa.


Separuh masa kedua menyaksikan Selangor FC meningkatkan serangan dalam 10 minit pertama. 

Namun kelekaan ketika menyerang dihukum Ifedayo apabila penyerang dari Bahrain itu meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-59.

Bermula daripada hantaran serangan balas pantas pemain gantian, Hasbullah Abu Bakar, Ifedayo berjaya melepasi perangkap offside pelawat sebelum menggelecek Sam Somerville dan menolak masuk gol kedua Melaka United.


Minit ke-75 menyaksikan See bertindak cemerlang menggagalkan percubaan dari dalam kawasan penalti oleh penyerang import dari Brazil, Caion.

Melaka United terlepas peluang menambah jaringan ketiga pada minit ke-77 apabila percubaan Adriano berjaya diselamatkan Somerville.


Selang tiga minit selepas itu menyaksikan Adriano dinafikan gol apabila kuisan bolanya dikeluarkan pertahanan Selangor dari atas garisan gol biarpun ulang tayang menunjukkan sebaliknya.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Melaka United naik ke tangga kelapan selepas mengutip 12 mata daripada 10 perlawanan.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.