.

.

Ifedayo milik Melaka United - Justin


Melaka United menafikan laporan akhbar tempatan semalam yang mendakwa penyerang import, Ifedayo Olusegun merupakan pemain pinjaman daripada kelab gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Justin Lim berkata, laporan akhbar arus perdana itu tidak tepat dan diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar pemangku ketua jurulatih, Mohd Asri Ninggal.

Katanya, Ifedayo merupakan pemain yang berikat kontrak penuh bersama Melaka United sejak awal musim, tidak seperti pemain yang dipinjam daripada JDT, Mohd Fadhli Shas dan Syazwan Andik.

"Melaka United kesal dengan laporan tidak benar yang telar tular sehingga memberi impak negatif kepada imej kelab menjelang aksi penting Liga Super Malaysia menentang JDT di Stadium Hang Jebat, malam ini.


"Secara peribadi, saya juga kesal dengan beberapa laporan negatif, tidak benar serta tiada bukti kukuh yang sering dilemparkan kepada kelab bolasepak Melaka United. Laporan-laporan seperti ini pastinya memberi persepsi buruk kepada Melaka United FC secara keseluruhannya.

"Sehubungan itu, Melaka United mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada wartawan yang melaporkan," tegasnya.

Sebuah portal akhbar tempatan semalam melaporkan bahawa Norshahrul Idlan Talaha bakal mengetuai jentera serangan Melaka United menentang JDT hari ini susulan daripada Ifedayo dan dua lagi pemain pinjaman daripada kelab itu tidak dibenarkan beraksi kerana klausa pinjaman.

Laporan itu mengejutkan ramai pihak kerana sebelum ini Ifedayo dilaporkan menandatangani kontrak bersama Melaka United selepas berhijrah dari Selangor FC awal musim ini.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.