Melaka United bangkit ikat PJ City di Hang Jebat


Hasrat Melaka United meraih tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian apabila dipaksa bekerja keras sebelum bangkit mengikat PJ City FC 2-2 malam tadi.

30 minit pertama aksi di Hang Jebat menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi hambar sehingga memaksa Sony Norde dan Ifedayo Olusegun turun ke bawah untuk mencari bola.


Minit ke-36 menyaksikan Oti berjaya memecah kebuntuan apabila bijak menyelinap masuk ke dalam kawasan penalti pelawat sebelum melepaskan rembatan menerjah gawang PJ City.


Keputusan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila pelawat menyamakan kedudukan 1-1 dua minit sebelum menuju bilik persalinan.


Gol tersebut berpunca daripada kegagalan Syazwan Andik mengeluarkan bola hantaran silang dalam kawasan penalti.


Bola tersebut singgah ke Darren Lok yang mudah merembat masuk gol penyamaan menewaskan Bryan See di gawang Melaka United.


Babak kedua menyaksikan giliran PJ City pula di depan menerusi rembatan luar kawasan penalti K. Gurusamy yang terbias kepala Ifedayo untuk menjadikan kedudukan 2-1.


Sony berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-76 apabila melakukan larian bijak menewaskan Mahali Jasuli sebelum melepaskan rembatan lencong cantik menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.


Foto: MUFC