Kisah kepulangan penyerang prolifik, Ifedayo Olusegun ke Melaka United awal musim ini menjadi tandatanya dalam kalangan penyokong.
Ini kerana Ifedayo kembali ke Stadium Hang Jebat hanya selepas memenangi Kasut Emas Liga Super 2021 ketika bersama Selangor FC dan situasi ini sukar ditafsirkan.
Dan perkara tersebut hampir terjawab hari ini apabila pengendali sementara, Mohd Asri Ninggal mendedahkan penyerang berkenaan terpaksa diketepikan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana status pinjaman.
Bercakap kepada Berita Harian, Mohd Asri berkata, posisi Ifedayo selaku penyerang utama akan digalas oleh Norshahrul Idlan Talaha.
"Ifedayo bersama Mohd Fadhli Shah dan Syazwan Andik antara tunjang Melaka United musim ini namun mereka tidak dapat diturunkan kerana status pinjaman sekali gus ketiadaan mereka amat dirasai.
"Apapun, pemain dituntut berjuang habis-habisan dalam memastikan saingan sengit diberikan kepada lawan biarpun di atas kertas JDT antara kelab terbaik di negara ini dan di pentas Asia," katanya kepada Berita Harian hari ini.
Bagi pertemuan malam esok, Melaka United dijangka membawa masuk beberapa pemain muda untuk memperkuatkan pasukan yang agak tempang tanpa tiga pemain utama berkenaan.
Foto: MUFC