.

.

Haziq mohon pelepasan khas pemain Melaka United dipijamkan ke kelab lain


Pertahanan Melaka United, Ahmad Haziq Puad, memohon kelonggaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) agar pemain skuad itu diberi pelepasan khas beraksi dalam Piala Malaysia bersama kelab lain. 

Bercakap kepada Nadi Arena hari ini, Ahmad Haziq berkata ini bagi menyelamatkan nasib dan periuk nasi mereka memandangkan kelab itu tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan tertua di rantau Asia berkenaan akibat isu tunggakan gaji.


“Sudah pasti saya sedikit kecewa dan geram jugalah. Kami bersedia beraksi dalam Piala Malaysia walaupun bergelut dengan bermacam masalah. 


"Saya harap MFL untuk memberi keistimewaan dan sedikit kelonggaran kepada pemain Melaka United untuk dipinjamkan ke kelab lain.


"Untuk baki tiga perlawanan ini, kami mahu berikan persembahan yang sangat-sangat baik ibarat perlawanan akhir untuk diri sendiri,"' katanya. 



Untuk rekod, Liga Malaysia (Liga-M) pernah membenarkan pemain daripada pasukan yang tidak layak dalam Piala Malaysia beraksi bersama pasukan lain menerusi pinjaman.


Hal itu berlaku pada musim 2011 dan 2012 yang menyaksikan pemain seperti Azamuddin Akil, Afiq Azmi dan Rozami Abdul Rahman menyertai pasukan yang layak beraksi dalam kejohanan berprestij berkenaan ketika itu.


Terdahulu, Melaka United menerima notis peringatan pada 6 September lalu bagi menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat hingga 20 September 2022.


Bagaimanapun, setakat kelmarin, kelab berkenaan hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran hingga Jun 2022.


Hukuman lebih berat menanti mereka iaitu digantung lesen andai masih gagal selesaikan perkara itu pada 30 September ini.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.