.

.

MUSA ambil alih Melaka United 2023

Melaka United bakal bertukar tangan lagi. Selepas KenTeam, skuad hijau putih ini akan 'dikembalikan' kepada Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) bermula musim depan.

Presiden MUSA, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sebuah syarikat baharu akan dipilih  menguruskan Melaka United dengan MUSA akan memegang sebanyak 40 peratus saham dan selebihnya bakal dikongsi empat syarikat swasta lain.


Katanya, butiran perjanjian yang akan dimeterai memberi kuasa kepada MUSA untuk campur tangan dalam pengurusan MUFC, tidak seperti apa yang terjadi sewaktu diuruskan KenTeam.


“Dalam perjanjian KenTeam sewaktu mengambil alih kelab, nama MUSA tidak tertera sebaliknya atas nama seorang individu dengan saham 30 peratus, manakala 70 peratus milik syarikat terbabit.


“Bila saya lihat surat perjanjian yang ditandatangani pada 14 Ogos 2020 itu, banyak perkara berkaitan pasukan tidak melibatkan MUSA. Ini yang menjadi pelik kerana perjanjian itu sangat longgar.



“Saya berjanji akan menyelesaikan segala masalah yang timbul berkaitan tunggakan tiga bulan gaji pemain seperti yang dibangkitkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“KenTeam hanya membayar sebulan dan bukan tiga bulan yang sepatutnya dibayar dan keadaan itu menyebabkan kita dilarang oleh MFL daripada beraksi dalam Piala Malaysia musim ini. Keputusan MFL itu adalah muktamad,” katanya yang dipetik dari Utusan Online hari ini.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kongres Luar Biasa MUSA bagi mengesahkan pelantikan Nur Azmi sebagai Presiden baharu menggantikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali hari ini.


Nur Azmi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim yang juga pemilik KenTeam bagi menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain, selain melunaskan potongan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan kos melebihi RM600,000.


“MUSA akan memastikan syarikat tersebut melunaskan segala tunggakan tersebut sehingga hujung tahun ini bagi memastikan kelab terus dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.


“Kepada peminat bola sepak Melaka, saya minta mereka bersabar dan beri ruang kepada saya serta ahli jawatankuasa yang lain menyelesaikan segala masalah ini dan membolehkan MUSA mengambil alih skuad Melaka musim depan,” jelasnya.


Foto: MUSA, MUFC

Powered by Blogger.